10 January 2006

Aidil Adha Eve

Sayup-sayup dari bilik, aku dapat dengar suara orang bertakbir. Selepas Maghrib, takbir sudah mula bergema. Sementara Isya', takbir terus bersahutan.. Kali ini, suara kanak-kanak. Sayu. Namun, bagi aku lenggok takbir di Malaysia lagi syahdu kalau dibandingkan dengan Pogung Baru, Jogjakarta. Alunan orang-orang masjid kita lagi berseni. Tetapi, itu tetapan duniawi, pokoknya, apa jua pun cara takbir di sampaikan, kalimahnya tetap sama. Puji-pujian kepada Maha Esa.

Malam ini anak-anak Malaysia berkumpul di rumah Pijoy, Timbalan Yang Di-pertua Persatuan Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Yogyakarta (PKPMI-CY). Kita semua bertakbir. Kalau sudah aktiviti sebegini (sekategori dengan yasinan, tahlil dan solat hajat) uniform rasmi mestilah baju melayu. Selesai mandi, baju Melayu coklat aku capai. Warna hijau aku pakai esok, pagi raya. Tetapi, butang baju ada di baju warna hijau. Terus, aku pindahkan butang-butang baju aku.
Saat sarungkan butang-butang baju Melayu, aku tidak dapat tidak, terfikir orang jauh. Entah kenapa. Terbayang-bayang dekat ruangan mata, Ma mesti orang paling bising kalau butang-butang baju Melayu hilang pagi raya. Memang sudah jadi acara wajib, butang baju Melayu mesti tak cukuplah ataupun paling dasyat, tidak jumpa langsung pagi-pagi raya. Sambil korek segala isi laci almari, mulut Ma mesti tidak raya. "Kite molek-molek doh simpan butang-butang tu dekat sini, ni mesti ade hok alih tempat ni.." Ayat biasa Ma, tidakpun, "Mase ning baru nok cari, semalam tak boh siap awal-awal." Ceramah percuma pagi raya. Tetapi itu sekejap sahaja. Bila dah jumpa, anak teruna dia pun dah segak berbaju Melayu, senyaplah Ma.
Entahlah, rasa sayu malam menjelang Aidil Adha agak terasa, mungkin ini kali pertama aku lebaran di tempat orang, jauh dari keluarga. Jadi, memang mudah emosi yang mengawal diri. Orang selalu cakap, "Ala.. raye aji je.. dok payoh nok sedih-sedih..lain lah raya puase.." Paling tidak, "Ala.. bukan duduk jauh pun, Indon je.. orang duk U.K tak balik slumber je raya..ni kan duk Indon, bile-bile pun boleh balik.."
Bagi aku, Aidil Adha ke, Aidil Fitri ke.. sama saja. Dua-dua bagi aku 'Raya'. Dua-dua pagi raya itu, kami semua saling bersalaman, sembahyang raya dan ziarah kubur. Bezanya, Aidil Fitri lagi meriah makanannya dan Aidil Adha ada korban. Duduk dekat Indonesia ini kelebihannya ialah dekat dengan Malaysia, atmosfera pun sama. Namun, walaupun orang kata 'serumpun', adat, budaya dan cara hidup jauh berbeza. Langsung tak sama. Nasib baik agama sama. Kalau tidak, memang mati kutu tinggal di sini. Atas nama dekatlah, ramai anak-anak Malaysia balik kampung. Bakinya, dua tiga orang sahaja yang tinggal. Bila suasana sunyi, kawan-kawan kurang, bengkak juga hati tanggung perasaan ingin pulang.
Tahun lepas, malam menjelang raya aku atas bas tambahan dari Shah Alam ke Terengganu. Lebuhraya Karak - Pantai Timur sibuk. Kenderaan berasak-asak seperti sedang beratur, terutama di Karak. Itu baru raya haji. Kalau Aidil Fitri, lagi ribut pastinya. Sampai-sampai, orang dah bertakbir raya. Tetapi kali ini lagi hebat, langsung tak balik. Aku tidak salahkan keadaan sebab memang aku yang buat keputusan tak nak balik. Lagipun, ujian aku baru selesai jam 1 tadi.
Seboleh-bolehnya, aku tidak mahu resah. Sebab hari raya ialah hari kemenangan umat Islam. Sebuah hadiah yang penuh nikmat dan hikmat untuk seluruh muslimin dan muslimat. Makanya, inilah saat-saat kita harus gembira sambil bersyukur dengan segala kurniaan-Nya. Tetapi, aku juga manusia biasa yang tahu rindu keluarga dan tanah air. Entah apa yang Ma sedang buat sekarang. Entah pulang atau belum Ma dengan Baba dari kerja. Entah siapa yang salam dengan Ma pagi raya selain Baba. Yelah, anak Ma 2 orang sahaja. Kalau Kak Ti, raya hajinya jarang di rumah Ma, dia di rumah mertua. Kadang-kadang, cucu-cucu Ma yang datang malam menjelang raya, itu kalau aku ada dekat rumah. Entahlah, sekarang ada orang ke tak dekat rumah aku.
Tetapi aku yakin mereka masih tetap mengingati aku di sini sebab aku sedang mengingati mereka. Insya-Allah. Walau jauh mana kita terpisah, kita tetap lihat bulan dan matahari yang sama, kan? Jadi, hari ini aku sedikit dekat dengan erti pengorbanan. Walau tidak berkorban binatang sempena Aidil Adha, mungkin aku korbankan perasaan hiba aku, agar aku dapat meneruskan cita-cita dan perjuangan di tempat orang. Itu sebahagian erti pengorbanan bagi aku. Terima kasih untuk semua yang pernah berkorban harta, tenaga dan emosi kerana aku. Semoga kita mampu menjadi insan sesabar Ibrahim, sesoleh Ismail dan sekudus Muhammad. Selamat Hari Raya Aidil Adha 1426H!

Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar!
Allahuakbar Walillahilham!

No comments: