29 December 2005

Through The Rain

Jogja sekarang musim hujan. Musim hujan hujung tahun mengingatkan aku musim tengkujuh di kampung. Ahaks!(homesick..) Satu hari hujan, dari pagi hari sampai ke pagi hari keesokannya. Kalau nak balik lewat dari kelas pun kena fikir 2,3 kali. Sebab tak mahu mandi hujan. Jogja, bila hujan, aku tak tahu nak buat apa. Bosan. Mungkin bukan sebab lokasinya Jogja, tapi mungkin sebab dah besar panjang.

Dulu, masa umur masih lagi dalam kategori kanak-kanak riang, musim bah waktu tu memang syurga (heaven.. hehehe) habis. Apa lagi kalau bukan main hujan. Fikir-fikir balik, aku pun tak tahu apa motif main hujan. Tapi, yang pasti aku tak demam. Aku main hujan bukan seorang diri, tapi dengan sepupu-sepupu yang lain. Musim hujan kan hujung tahun, sama dengan cuti sekolah. Kita orang (aku dan sepupu-sepupu) kalau cuti sekolah mesti tidur rumah Tok Wan. Sebenarnya, kita orang bukan main hujan sempena hujan turun, tapi hujan yang turun masa kita orang main tengah padang. Maka, bukan salah kita orang lah, salah hujan lah kan. Kita orang main macam-macam. Kalau jumpa tayar buruk pun, kita orang gelek tengah-tengah hujan. Kitorang main bola. Main polis sentri. Pendek kata, macam-macam ada. Tetapi, Tok Wan mesti marah kalau kita orang mandi hujan. Sepupu-sepupu aku yang sebaya dan selalu bersama ada 4 orang. Salah seorang daripadanya, Iji, dia masa dulu-dulu pembersih sikit (zaman dahulu la.. sekarang dah tak..), benda bukan-bukan seperti main hujan mesti dia tak turut serta. Jadi, bila Tok Wan ‘turun padang’ marah kita orang, dia seorang mesti selamat. Lepas naik mandi, memang sampai malam kena khutbah di Tok Wan. Masa kena marah, mesti timbul rasa tidak puas hati dekat Tok Wan. Namun, kita orang tak cabut balik tidur rumah masing-masing lah. Sebab, duduk kat rumah tak sedap.

Satu lagi, aku ingat lagi, suatu malam, kita orang ramai-ramai tengok filem klasik ‘Batu Belah Batu Bertangkup’, filem lama, lakonan siapa pun aku sudah lupa. Waktu menonton itu hujan turun. Turun punya turun, turun punya turun, sampai pagi. Belakang rumah Tok Wan ada reban ayam. Kawasan reban ayam tu berpagar dan rendah. Jadi, bila hujan lebat, mesti air bertangkung. Dalam ‘Batu Belah Batu Bertangkup’, ada babak mak Pekan dan Melor tengah menangguk ikan tembakul. Kepada mereka yang tidak ikut serta perkembangan filem Melayu, ikan tembakul itu bertelur. Ibu mereka kempunan kan telur ikan tembakul itulah. Hendak dijadikan cerita, tatkala ibu kempunan dan merajuk dengan anak-anaknya yang makan telur ikan tembakul ibu mereka, si ibu pun masuk dalam gua yang makan orang, iaitu ‘Batu Belah Batu Bertangkup’. Apa yang terjadi selepas itu? Jika ingin tahu selanjutnya kisah Pekan dan Melor, dapatkan VCD-VCD original di pasaran. Okey lah, berbalik kepada kisah aku dan sepupu-sepupu. Akibat terpengaruh filem tu, kita orang semua masuk dalam air keruh reban ayam yang bertakung itu dan berlagak seperti ibu sedang menangguk ikan tembakul. Aku rasa gaya kita orang sudah tak macam menangguk ikan, tetapi dah macam kerbau mandi lumpur. Tapi, tak lama, kegiatan itu di jerkah oleh Pak Teh kita orang. Sebab, air tu kotor, kotor dan kotor.

Rumah aku depan sungai (kecik, macam alur..), kalau musim hujan, memang sah air dia limpah. Tetapi, bukanlah hapus satu rumah, tapi dekat atas jalan, air sampai paras keting. Itu dekat depan rumah. Dekat belakang kampung aku, lagi dasyat air dia naik. Tetapi, bukanlah juga sampai tenggelam badan aku, cukup sampai paras betis. Maka, antara benda yang dilakukan juga masa musim hujan ialah berbasikal meredah air-air hujan. Kita orang boleh dikatakan basikal seorang satu. Bukanlah basikal yang ada gear, tetapi basikal ralley yang biasanya budak perempuan pakai. Sebab bagi kita orang, basikal bergear seperti Mountain Bike tu mahal sangat. Mak bapak serba salah sikit nak beli. Aku ingat lagi, basikal aku cap dia JUMBO. Ada raga. Tetapi, kita orang dah ubah suaikan semuanya. Raga dah tak ada. Warna dah berubah. Handel dah tukar. Semua dah tukar. Dah tak ada rupa basikal ralley. Kita orang memang akan pusing satu kampung dan cari tempat-tempat air bertakung dan meredahinya. Sesiapa yang tersangkut tengah-tengah air tu, bersiap sedia lah derma darah, kerana lintah-lintah bermaharaja lela. Terutama lintah kerbau. Kalau pacat, sebelum melintas air dah kena. Alasan aktiviti kita orang satu saja, iaitu cuci basikal. Merepek, bukan?

Tetapi, itu semua cerita lama. Sudah kemas dalam lipatan sejarah. Semua orang di daerah baru dan mestilah dah ada kawan baru. Tok Wan pun dah tak ada. Meninggalkan kita orang buat selama-lamanya. Walaupun Tok Wan dah pergi, dia ada tinggalkan kasih sayangnya pada kita orang. Bukan sikit yang dia tinggal. Banyak, sebanyak titisan-titisan hujan yang jatuh…..

I can make it through the rain
I can stand up once again on my own
And I know that I'm strong enough to mend
And every time I feel afraid I hold tighter to my faith
And I live one more day and I make it through the rain

2 comments:

Anonymous said...

Keep up the good work » »

Anonymous said...

Very nice site! »