05 December 2005

Utusan Hari Lahir ke-20..


1.35 petang, 3 Disember 2005. Selamat Hari Lahir ke-20 untuk aku!

Tulus, mulus, kudus dan telus dari hati, aku merafakkan dan panjatkan kesyukuran aku kepada Dia kerana membenarkan aku untuk terus mampu berdiri di atas muka bumi ini dan menghirup udara di setiap inci di atas muka bumi dengan percumanya.

Buat bonda dan ayahanda, tiada satu pun kata yang dapat menggambarkan rasa terima kasih, terhutang budi dan sayang anakanda untuk ayahanda bonda. Betapa kerdilnya diri anakanda mengenangkan bahawa anakanda pernah menumpang di rahim dan membebani bonda dengan payahnya. Saat melahirkan sehingga membahagiakan anakanda sampai ke saat ini, tiada yang dapat anakanda samakan dengan apa-apa di atas muka bumi ini. Bonda tiada pernah kesal dan serik untuk anakanda. Kasih, doa dan restu bonda senantiasa mengiringi perjuangan anakanda yang tegar tersemat di hati anakanda walaupun di mana anakanda berada. Perjuangan ayahanda untuk anakanda tidak pernah anakanda tidakkan. Amarah ayahanda tidak pernah anakanda simpan dalam hati. Kesungguhan dan ilmu yang ayahanda curahkan tiada satu pun yang tidak berguna. Kehadiran ayahanda bonda benar-benar melengkapi kehidupan anakanda. Anakanda berhutang air mata dan keringat yang ayahanda berikan walaupun tidak pernah ayahanda bonda sedar. Anakanda kagum dengan kekuatan ayahanda bonda walaupun pada usia sebegini, ayahanda bonda tidak pernah berhenti memastikan anakanda tidak ketinggalan di kalangan insan-insan lain. Satu-satunya tempat istimewa di hati anakanda, anakanda telah tempatkan untuk ayahanda bonda. Berbekalkan restu dan semangat ayahanda bonda, anakanda berusaha untuk menjadi insan yang mampu membela nasib kita. Kepenatan dan keletihan ayahanda bonda hari ini, tidak akan anakanda ulangi dalam kehidupan ayahanda bonda akan datang. Anakanda sendiri tidak dapat membayangkan kehidupan anakanda seandainya anakanda dilahirkan hari ini tanpa kalian. Kekuatan dan tempat anakanda menumpang kasih hanyalah dari ayahanda bonda sahaja. Hanya Tuhan sahaja yang dapat mengasihani ayahanda bonda sebagaimana ayahanda bonda mengasihani anakanda. Sekali lagi, terima kasih atas segalanya untuk 20 tahun ini!

Buat kekanda dan keluarga. Jutaan terima kasih adinda tiupkan untuk kalian. Kehadiran dan kasih sayang kekanda sekeluarga menjadi penyeri di dalam kehidupan adinda 20 tahun ini. Adinda senang dengan semuanya. Jarak umur kita seolah ibu dan anak, tetapi yang jelas kita lebih seperti sahabat. Walaupun, kita hanya 2 bersaudara, percayalah kegembiraan dan kebahagiaan yang kita kecapi, hanya kita berdua sahaja yang mengerti. Terima kasih atas segala perhatian kekanda untuk adinda selama 20 tahun ini!

Buat sepupu, ibu-ibu saudara dan bapa-bapa saudara, kalian begitu istimewa. Ibu-ibu dan bapa-bapa saudaraku, kalian seperti ibu dan bapa kedua aku. Dukungan dan kepercayaan yang dipancarkan sentiasa di hati. Untuk sepupu-sepupuku, kemesraan kita seperti saudara. Kesakitan kalian, seperti kesakitan aku. Begitulah sebaliknya. Terlalu banyak kisah-kisah klasik yang kita sama-sama cipta. Terima kasih atas segala keindahan 20 tahun ini!

Buat cikgu-cikgu, kalian ibarat perjalananku. Sehingga hari ini, aku berjalan mengikut panduan yang kalian bina untukku. Kesempurnaan hidup aku selama ini, kalian yang anugerahkan. Nasihat dan pegangan yang diberi aku junjung setinggi-tingginya. Peranan kalian dalam kehidupan aku sungguh ajaib kerana kata-kata kalian membawa aku seperti aku hari ini. Terima kasih atas segala keikhlasan kalian 20 tahun ini!

Buat teman-temanku. Kita saling memerlukan. Aku bersyukur, sepanjang 20 tahun jantungku berdegup, aku mengenali insan-insan seperti kalian. Perjuangan kita selama ini sebenarnya sama walaupun impian kita berbeza. Suka dan duka bersama kalian semuanya menjadi kenangan yang cukup istimewa dalam kamus kehidupan aku. Walaupun kita pernah bermasam muka, aku menganggapnya ia suatu kebodohan kita di waktu usia muda kita. Teman-teman yang terdahulu, meskipun kita jauh dari pandangan mata tetapi, kemesraan bersama kalian masih lagi dekat di hati. Aku benar-benar hargainya kerana aku yakin tiada apa yang dapat mengundurkan waktu kembali ke zaman yang indah itu. Teman seperjuangan dan sepermainan, kita harus cekal, tabah dan bersedia dengan apa kemungkinan yang bakal berlaku. Andai cita-cita tidak kesampaian dan impian terputus di tengah jalan, jangan dikesalkan. Janganlah kerana kegagalan ini, kita berdendam saling bermusuhan. Terima kasih untuk kesudian berkongsi hidup selama 20 tahun ini!

Buat kehidupanku, aku berterima kasih. Aku puas, lega dalam bersedia. Puas dan lega kerana dapat menikmati hidup seperti hari ini dan bersedia untuk perjalanan aku yang masih lagi jauh. Kehidupan memberi aku kebebasan untuk hidup seperti hari ini. Kehidupan menemukan aku dengan banyak pilihan dan keputusan. Aku bersyukur untuk kehidupan hari ini, walaupun tidak sempurna namun ia sederhana. Terima kasih untuk kehidupan yang menjadikan aku hidup selama 20 tahun!

Selamat Hari Lahir Ke 20 Mohd Khairudin Bin Omar!

-Wassalam-

1 comment:

Anonymous said...

I have been looking for sites like this for a long time. Thank you! » »