23 January 2007

Pesona Jawa Timur 2

Hari 2
14 Januari

Photobucket - Video and Image Hosting

Seawal 4.30 pagi, kami bangun dan terus menuju ke salah satu kawasan tertinggi di Gunung Bromo untuk menyaksikan matahari terbit. Dalam kegelapan subuh yang masih lagi belum menampakkan sebarang cahaya, kawan dapat lihat banyak kujur badan manusia. Sikit-sikit matahari terbit. Malu-malu cahaya memancar. Dan nyatanya kawan tak salah lagi. Sangat ramai orang yang tak mahu melepaskan peluang menyaksikan suasana indah pagi hari di Bromo. Udara yang sangat sejuk dan segar, mengindahkan lagi atmosfera di sana. Berlatarbelakangkan geografi yang naik turun, kabus pagi yang tebal dan saujana mata memandang, suasana waktu itu mungkin menjadikan salah satu detik pagi yang takkan terlupakan. Indah.

Photobucket - Video and Image Hosting

Photobucket - Video and Image Hosting

Semakin tinggi matahari, semakin berkurang manusia. Kami juga segera meneruskan perjalanan ke tanah yang lebih dekat dengan aras laut dan kami sempat berhenti di lereng gunung untuk menikmati keindahan Bromo dari sudut kedudukan yang berbeza sebelum tiba di Laut Pasir.

Photobucket - Video and Image Hosting

Laut Pasir
tak ubah seperti anda berada dalam filem Jurassic Park. Gersang, tandus, luas dan geografinya sangat pra-sejarah. Pendapat Anep, wujudnya Lautan Pasir mungkin kerana kedudukan tanah rendah ini dikelilingi gunung-ganang yang menghalang dari air hujan sampai maka kawasannya tandus. Yek sempat menambah, larva dan abu dari gunung-gunung berapi di sekitarnya menyebabkan timbunan pasir yang melaut. Kawan tak menyangkal mana-mana pendapat. Malah, atas sebab pengetahuan cetek kawan, kawan bersetuju saja. Kawan mula memikirkan betapa pengetahuan am kawan sangat sedikit. Haha

Photobucket - Video and Image Hosting

Photobucket - Video and Image Hosting

Tiada jalan raya yang membawa kami ke mana kami mahu berhenti. Cuma pengalaman dan sedikit intuisi pemandu yang membantu. Pak Lasimin memang supir yang kawan rasa kawan tiada ragu kepadanya. Segera kami tiba di kaki kawah gunung berapi. Kehadiran kami disambut dengan huru-hara mereka yang menyediakan perkhidmatan berkuda ke puncak gunung berapi untuk melihat kawahnya. Kawan yakin dari tulisan kawan, keadaan sebenar waktu itu sangat jauh untuk membayangkan betapa kecoh mereka mendesak, memujuk dan mempromosi kuda. Kami seperti biasa berlagak gagah dan yakin tak memerlukan kuda untuk menempatkan diri lebih dekat dengan kawah gunung. Beberapa meter kami menapak dan ternyata kudrat kami tunduk pada ketinggian kawah yang perlu kami daki. Maka, dengan harga berkuda pergi balik sebanyak Rp20000, kami lebih cepat untuk berada lebih dekat dengan kawah.

Photobucket - Video and Image Hosting

Photobucket - Video and Image Hosting

Di bibir kawah, kawan merasakan kawah gunung berapi di Gunung Tangkubang Perahu, Bandung lebih besar. Mungkin perasaan kawan waktu itu tak tepat. Kawan sendiri tak pasti. Tetapi, pemandangan dari sana tak terucap oleh kata-kata. Kawan terpukau dengan struktur muka bumi yang sangat baru bagi kawan. Kawan menikmati setiap hela nafas yang kawan sedut dan hembus. Kawan tak lama di sana kerana kawasan yang terhad tetapi kawan puas walaupun kawan berusaha mencari sempadan had penglihatan kawan dan ia gagal.

Kami mengucapkan selamat tinggal kepada Bromo dan perjalanan diteruskan ke daerah Batu. Kami menikmati hidangan tengahari di rumah makan Haji Pak Sholeh yang menyediakan nasi putih dan ayam goreng yang sedap. Kawan dapat rasakan ada sesuatu yang istimewa dengan rumah makan Pak Sholeh selain persekitarannya yang selesa, bersih dan kondusif. Ayam goreng yang kawan nikmati memang sedap tetapi rasanya tak jauh beza dengan ayam-ayam goreng yang kawan nikmati di sekitar Jogja. Jangan fikir dua kali untuk mencuba dengan membaca kenyataan kawan, sebab rasanya sedap. Tetapi, kawan lagi suka sambalnya. Tak manis sangat, tak pedas sangat. Pendek kata sedap. Melihat ramai pelanggan berkunjung, kawan rasakan mencuba ayam goreng atau ayam bakar di rumah makan Haji Pak Sholeh mungkin boleh menjadi salah satu destinasi pelancongan anda di Jawa Timur. Suasana melancong itu ada.

Photobucket - Video and Image Hosting

Destinasi 3 - Permandian Kendedes


Kami ingin ke Air Terjun Coban Baung, malangnya kami tiba terlalu petang. Maka, untuk mengubati perasaan ingin mandi, Pak Taslim membawa kami ke Permandian Kendedes. Tak tumpah seperti kolam renang awam tetapi sumber airnya bukan air paip. Air di sini menggunakan air sumur yang terasa sekali segarnya. Kawan terpaksa mengatakan di sini, Kendedes tidak lebih dari sebuah kolam renang biasa cuma sekali lagi faktor sumber air dan faktor sejarahnya menjadikan Kendedes salah satu pilihan tempat untuk anda ke sini. Dan, jangan harapkan Kendedes sangat luar biasa sebab ia biasa sahaja.

Photobucket - Video and Image Hosting

Kawan lupa nyatakan walaupun baru turun dari Bromo, Batu juga terletak di daerah tanah tinggi. Cuma, tidak setinggi waktu kawan di Bromo. Sementara menunggu ke villa di Batu, kami sempat menikmati jagung bakar di lereng Batu. Jagung bakar masam manis yang berharga Rp2000. Kawan tak ada adjektif untuk menggambarkan rasa jagung bakar Batu melainkan sedap di makan. Oleh sebab semua tempat makan di lereng Batu menyediakan jagung bakar, kawan rasa tiada salah untuk mencuba. Rasa sendiri baru tahu apa istimewanya.

Photobucket - Video and Image Hosting
Ketidaksabaran mentekadarah menyebabkan kawan tak sempat merakam bagaimana rupa jagung bakar sebelum dimakan.

Kami tiba di villa tempat menginap kami malam itu. Harganya Rp100000 satu bilik dan kali ni biliknya lagi besar, selesa dan nikmat kalau dibanding bilik di Bromo. Kawan tak tahu kenapa, nafsu tidur kawan membuak-buak kalau suhunya rendah. Kawan tak sedar sejak bila kawan melelapkan mata dan bermimpi. Terlalu cepat untuk kawan berfikir untuk tidur.

-bersambung...

1 comment:

Kurt Kuden said...

salah!! gigi kitorag cantik!! haha! cuma cara makan je yg jelek.. heheh