Hari 1
13 Januari
2 jam lewat tiba di Stasiun Gobeng, Surabaya dari waktu yang kami jangka gara-gara jadual keretapi bertolak 2 jam lambat. Kami tidak memerlukan banyak masa untuk menempatkan diri ke Bromo. Yek berdiplomasi dengan makelar-makelar* yang sangat banyak di ruang luar stesen. Salah seorangnya, Pak Hamid. Dengan jaminan wang sewa travel Rp600000 satu hari, kami sekarang berjaya memiliki pengangkutan sendiri dan supir-nya**, Pak Lasimin ke Gunung Bromo. Ramah dan santai Pak Lasimin memudahkan proses interaksi kami. Hampir dua jam mandi, minum kopi dan menyusun destinasi perjalanan di kediaman Pak Lasimin, kami mula bertolak menuju ke destinasi pertama sekitar jam 10 lebih.
*makelar - orang tengah yang menguruskan travel
**supir - pemandu
*makelar - orang tengah yang menguruskan travel
**supir - pemandu
Trafik Surabaya seperti di kota-kota besar Indonesia yang lain, sesak. Cocok dengan taraf Surabaya sebagai kota kedua terbesar di Indonesia. Perjalanan menuju kabupaten Pasuruan di mana letaknya Puncak Bromo, melewati daerah Sinduarjo yang masih lagi kelam-kabut dengan tragedi banjir lumpur. Makanya, trafik masih lagi di luar kesabaran pengguna jalan raya. Terlalu kucar dan kacir.
Sempat singgah di rumah makan yang kecil untuk menikmati hidangan istimewa Surabaya, Nasi Rawon.
Kami tiba di Banyu Biru agak petang, tapi masih jauh untuk senja.
Destinasi 1 - Banyu Biru
Sebuah permandian yang memiliki pemandangan biasa tetapi yang membezakan Banyu Biru dengan kolam renang awam adalah tasik semulajadi yang telah direnovasi dengan warna yang benar-benar biru dan anda boleh berenang bersama-sama ratusan ikan yang saiznya memang besar. Kawan tak ambil kesempatan untuk mandi, jadi kawan tak tahu betapa sejuknya air Banyu Biru. Mata kawan tidak dapat tidak katakan bahawa ia memang sejuk. Dan hati kawan tidak dapat tidak katakan bahawa kawan rugi untuk tidak mandi.
Destinasi 2 - Panorama Bromo
Kami tiba di villa yang sewanya mengikut berapa jumlah bilik yang kami perlu. Kami berlima dan kami hanya perlu 2 bilik. Mandi di sini adalah salah satu perkara yang sangat mencabar. Kawan rasa mungkin idea mandi di puncak Bromo boleh digunakan sebagai salah satu cabaran dalam siri realiti Fear Factor. Secara peribadi, kawan tak sanggup mandi seperti kawan mandi di Jogja. Tak mustahil kawan boleh hipotermik.
Tak banyak aktiviti malam yang boleh anda harapkan selain melihat dada langit yang sangat terbentang luas. Dan, kawan sendiri dah lama tak tengok bintang sejelas dan sebanyak itu. Bersepah-sepah. Makan malam berbekalkan nasi bungkus dan 3 biji durian yang dibeli dalam perjalanan menuju ke sini, menambahkan lagi nafsu kami untuk cepat-cepat menarik selimut dan tidur.
No comments:
Post a Comment