29 May 2007

Denting Jazz Hujung Semester

Sapaan UGM Jazz Concert 2007, 25 Mei 2007.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Kawan resah melihat keadaan trafik di sekitar luar Grha Sabha Pramana (GSP), Universitas Gadjah Mada. Sesak dan perlahan. Dan resah kawan bertambah bila jam sudah melewati 7.30 malam. Bersama 2 teman, kawan terus bergegas keluar dari perut teksi dengan lonjakan nafsu yang membuak-buak untuk menikmati UGM Jazz 2007 kali ke-9 anjuran Fakultas Ekonomi UGM.

Kami sempat menempatkan punggung di bangku yang bernilai Rp75000 (sekitar RM30) sambil menarik nafas lega, kerana persembahan pembukaan oleh Bubi Chen dan Virtuoso-nya baru beberapa saat sahaja bermula. Mujur. Dan, kawan semakin teruja untuk melihat aksi Virtuoso yang terdiri daripada Benny Likumahuwa, Oele Pattiselano, Trisno, Benny Chen, Totok Afiat dan Howie Chen. Mereka bermula dengan tenaga seperti di kemuncak acara. Penuh semangat, sempurna dan paling ketara, jelas terasa mewahnya. Seperti mengalu-alukan penonton yang baru sempat melalui detik-detik trafik yang memenatkan di luar GSP, mereka ber-Jazz dan menghipnotis penonton supaya lupakan hal itu dan nikmatilah persembahan istimewa malam Jumaat, sekonyong-konyongnya.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Melihat susuk tubuh Bubi Chen, kawan tak percaya kata-kata seorang teman Indonesia kepada kawan, Surya, bahawa Bubi Chen itu orang hebat. Bubi Chen berpindah dari grand piano ke keyboard dan sebaliknya seperti kebiasaan mereka yang lanjut usia. Terketar-ketar, perlahan dengan vertebra yang jelas condong ke depan. Tetapi, saat sepuluh jari milik Bubi Chen mula meraba kekunci piano dan keyboard, kawan akui kawan terkagum. Jari-jari Bubi Chen menari seolah-olah segala pergerakannya sudah diprogram. Bubi Chen bermain selayaknya lagenda, dia bersenang-senang dengan piano tak ubah seperti seseorang yang sedang berpesta, dan bukan menyiapkan konsert terakhirnya. Sekali-sekala, Bubi Chen kelihatan sangat nakal.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Sejujurnya, kamus muzik Indonesia kawan belum pernah tercoret nama penyanyi Utah Likumahuwa. Utah bermula dengan My Funny Valentine sambil diiringi tiupan harmonika abangnya, Benny Likumahuwa. Dan di sini, kawan terdiam. Kawan mula cemburu pada Indonesia untuk memiliki seorang penyanyi bersuara emas seperti Utah. Sebenarnya Utah tak bernyanyi pada malam itu. Utah berdiri di pentas sambil bercerita kisah-kisah cinta kepada hampir 3500 'jemaah jazz' Yogyakarta dengan nada-nada suara yang sangat indah. Dan, mereka semua khuyuk sekali mendengar. Saat Utah melantunkan hit-hit yang ternyata sebuah sing-a-long yang sangat cantik, semua turut bernyanyi sedangkan kawan tak tahu apa-apa tentang lagu yang dinyanyikan. Kawan terbuai mendengar nada indah seperti Esok Kan Masih Ada, Sesaat Kau Hadir dan Tersiksa Lagi. Menyaksikan Utah yang terlihat sebagai seorang entertainer yang handal, persis James "Thunder" Early lakonan Eddie Murphy dalam Dreamgirls, kawan ternyata tak mahu konsert malam itu berakhir cepat. Utah sekali lagi tanpa puas membuat penontonnya gelisah dengan permainan keyboard dan kelantangan vokal yang tak ternafi hebat. Dan, sampai ke penghujung babak satu, Utah terus-menerus membuat penonton bertepuk tangan dengan kuat dan girang. Salah satu cara untuk melontarkan pujian.

Sayup-sayup terdengar bunyi saksofon yang datangnya entah dari mana. Saksofon itu bernyanyi tanpa peduli bahawa mereka yang mendengarkannya sedang terpinga-pinga siapakah pemilik peniup saksofon itu. Lampu menyala terang, dan akhirnya Didik SSS mengalah bahawa dia harus muncul dari tengah-tengah penonton. Sambil berjalan ke pentas dan meniup saksofon, Didik SSS menghipnotis penonton dengan lagu Over The Rainbow. Seakan-akan bernyanyi, Didiek melenggok menghayun sambil meniup dengan tenaga yang membuat semua yang hadir resah sedangkan Didik SSS menghabiskan Over The Rainbow dengan santai.

Babak satu menutup UGM Jazz 2007 dengan Burung Kakak Tua. Lagu rakyat dengan nafas jazz yang telah di aduk dengan begitu sempurna. Kawan nikmat melihat setiap satu pemain instrument di pentas yang seolah-olah hampir menyelesaikan satu hal penting kepada penonton, bahawa, inilah cara yang benar bermain muzik Jazz. Dan, kawan percaya pasti semua setuju dan persembahan babak satu ini layak untuk diancungkan kedua ibu jari kawan. Kawan pasti inilah konsert Jazz yang pasti membuat mereka bukan di antara komuniti Jazz untuk mula jatuh cinta pada Jazz. Tahniah!

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Seperti dijangka, rata-rata yang hadir pasti menanti salah seorang diva daripada 3 Diva Nasional, Ruth Sahanaya. Uthe membuka babak dua konsert dengan Apalagi dengan diiringi Ruth Sahanaya Band. Uthe, nama yang akan membuat anda lebih dekat dengan Ruth Sahanaya ini tak menyekat tenaga malam itu cuma di situ, tetapi diteruskan dengan single-single yang kebanyakannya adalah kegemaran peribadi Uthe sendiri. Satu Cinta dan Bagaimana adalah di antara hiburan malam itu. Malangnya, kawan terpaksa mengaku, persembahan Uthe malam itu belum cukup jazz dan secara peribadi pemilihan lagu juga belum cukup kuat untuk mengekalkan momentum tenaga yang telah dihadirkan oleh mainstream jazz di babak satu tadi. Kawan jelas dapat merasakan lagu-lagu yang dikategorikan oleh Uthe adalah paling jazz di dalam album-albumnya, sebenarnya masih sarat dengan pop dan r&b. Kawan rasakan tak salah kalau paling tidak satu, Uthe menyanyikan lagu jazz yang bukan miliknya. Lupakan hal itu, kerana kawan masih mengaku bahawa diva bersuara alto ini jelas pakar dalam mengawal teknik nyanyian yang langsung tak tampak cacat. Uthe paling tidak malam itu sempat memberi peluang kepada generasi yang hadir bukan semata-mata kerana jazz untuk sama-sama berhibur dengan nyanyiannya.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Walaupun masih jauh tertinggal daripada babak satu tadi, persembahan Keliru oleh Uthe masih menjadi salah satu persembahan terbaik malam itu. Tambah manis bila Mike Mohede, Indonesian Idol musim 2 turut mengisi separuh terakhir lagu sambil diiringi adlib Uthe yang bertenaga. Mike masih belum panas dan jelas terlihat bila Mike lebih mesra berinteraksi dengan band dan melirik terus kepada Uthe berbanding penonton yang bagaikan histeria melihat Mike melangkah ke pentas. Dan, Keliru malam itu di habiskan dengan cukup bersejarah dan penuh romantik.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Mike mungkin tak meninggalkan banyak memori kepada penonton yang hadir dengan cuma berbekalkan 3 lagu, Waiting In Vain, Rainy Days dan On Broadway. Sayangnya lagi, interaksi Mike masih lemah dan persembahannya yang jelas terasa naik turun, mungkin boleh dijadikan panduan kepada penganjur untuk memilih bakat baru di konsert-konsert jazz akan datang. Dan, sebelum graf berhibur lebih dramatik menurun, Uthe kembali mengambil pentas dan menutup UGM Jazz 2007 dengan Tak Ku Duga, di mana hampir semua yang hadir bernyanyi dan menggegarkan GSP dengan tepukan yang gemuruh.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Kawan percaya tepukan gemuruh itu bukan semata-mata untuk Uthe tapi buat semua yang berjaya menjadikan UGM Jazz 2007 ini kenyataan terutama susuk-susuk Jazz di babak satu tadi. Walau kawan sedikit kecewa dengan alhasil babak dua, sebenarnya kawan puas untuk hadir pada malam itu untuk melihat sajian yang memukau pada babak satu. Benar, kerana sebelum kawan tidur, sayup-sayup terngiang di cuping telinga kawan dengan dentingan piano Bubi Chen. Mungkin itulah alasan yang tepat untuk kawan hadir ke UGM Jazz Concert buat kali ke 10. Kawan tersenyum, mata terpejam dan.... tidur.

kredit foto
-kerp rockstar
-kapan lagi
-detik hot
-warta jazz

2 comments:

Pato & Pearl said...

you know lah kan..itik itik ni memang lah tak minat jazz me-jazz ni but bab Ruth Suhanaya..hmm kita pun feeling meeling - boleh gitu

"mungkin hanya tuhan..yang tau segalanya..apa yang ku inginkan..di saát saat ini..oohhh.""..(don't even try to imagine how Pearl would sing it...sumbang leerrr)

Pearl (missing Pato..nite shift lagi..sob sob...)Terpaksa lah kawan layan blog mu sorang sorang.........

KudeN said...

iskk.. puan pearl.. mane de sumbang.. merduuu jeeekk kawan dengo.. ahaks..

tp rugila.. uthe nyanyi tak byk lagu2 yg kawan suke aa mlm tu.. hehe.. ingatkan dpt a dengo kaulah sgalanya dgn bicara cinta. hehe..