27 January 2008

Bali (1)

..kami bebas berlari

Kata orang, kalau sudah kenal, maka tak susah untuk jatuh cinta. Kawan kurang pasti apakah ini jatuh cinta yang sebenar-benarnya. Tetapi, kawan cukup yakin bahawa kawan masih lagi rindu pada suara ombak itu. Rindu kawan juga pada angin yang bertiup lembut jatuh ke pipi menggetarkan rasa rindu paling dalam. Sampai saat ini, kawan tertanya kenapa senang sungguh kawan jadi rindu pada Pulau Bali walau cuma 5 hari. Pertanyaan yang tak memerlukan jawapan sebenarnya. Di sebalik foto-foto yang tersimpan, kawan belek satu-satu. Inilah cerita yang kawan ingin kongsi. Betapa kami bertujuh telah melihat satu lagi sisi Indonesia yang sungguh berbeza.
Matahari mula mencium kaki langit. Dan terbiaslah warna jingga yang menjadi perca-perca lalu bertebaran ke seluruh permukaan laut. Air laut luas terbentang, melihatkan riak-riak di tengahnya bergetar seperti suara-suara lebih empat puluh lelaki tak berbaju di puncak Uluwatu. Mereka mendendangkan tangga nada suara yang penuh klasik dalam persembahan tarian Kecak. Tarian yang bercerita tentang epik Ramayana ini seolah-olah menjadi lagu latar buat sang matahari untuk tetap turun. Semakin jatuh matahari, semakin keras suara mereka, semakin lembut mereka menari. Berbatu-batu dari Uluwatu, jauh ke Tanah Lot, tersergam indah pura yang dibina di atas sebuah batu besar di pinggir laut. Pura yang memuja dewa-dewa penjaga laut ini tak lupa menciptakan suasana matahari terbenam yang tak kalah indah. Bentuk muka bumi yang memukau, suara ombak yang memukul pinggir pantai, terasa cukup menakjubkan. Burung-burung pula sedang sibuk terbang melintasi sang matahari pulang ke sarang.

Tarian Kecak

Antara kami, ada yang sempat tak lelap tidur memikirkan aktiviti hari esok. Pengalaman terbaru buat semua. Pengalaman yang memungkinkan rasa takut pelbagai cara. Kawan tak terkecuali. Tak pernah mencuba, malah langsung tak pernah terfikir oleh kawan untuk mencuba scuba-diving pada kedalaman 6 meter daripada paras laut ataupun 'terbang' sendirian di udara 14 meter lebih di atas paras laut. Terlalu bukan kawan. Tetapi tak di Bali. Walaupun scuba-diving ini cuma diving perkenalan, tak memerlukan lesen yang khas, atau kepakaran tingkat tinggi, namun bagi kawan, percubaan ini lebih daripada segala-galanya.

Penat menyelam, kami dicabar untuk melawan rasa takut pada ketinggian, fobia yang tak pernah berhenti menghantui kawan. Flying fish membenarkan kawan terapung di udara pada ketinggian 7 meter, tetapi dengan parasailing, kawan 'terbang' dua kali ganda. Lebih mencatat rekod peribadi, kawan terbang sendirian. Dengan hati yang berserah sepenuhnya, kaki tak tercecah pasir pantai, kawan jadi kaku untuk melihat bumi daripada ketinggian itu. Sebuah anugerah Tuhan buat kawan di sana, kekuatan melawan takut.

Antara sifat yang menjadikan Bali cukup istimewa adalah kepercayaannya. Hindu Bali jelas berbeza daripada agama Hindu yang pernah kawan tahu. Mereka punya cara pemujaan tersendiri. Kebetulan kawan di sana Hari Raya Galungan, jatuh pada tanggal 23 Januari. Sebuah perayaan kepercayaan Hindu Bali yang tak kurang meriahnya. Lihat di kiri kanan jalan, setiap setengah meter pasti ada anyaman daun kelapa yang tersusun rapi.

Penduduk kampung segak dan cantik lengkap berbaju rasmi. Sajian di susun di hadapan rumah dan kedai. Dan di setiap pura di setiap kampung, terlihat sungguh meriah layaknya sebuah pesta. Suara kerukunan bergema di setiap penjuru jalan menuju Tabanan dan Kintamani.

Kawan sempat ke sebuah pura dua hari sebelumnya. Sebuah pura milik sebuah kampung. Tetapi sebenarnya setiap rumah juga pasti memiliki sebuah pura. "Kami membina pura sesuai dengan kemampuan," Bli Gede sempat menambah sewaktu menuju ke Kintamani. "Kalau rumahnya mewah, tak akan Tuhan mahu diberi sebuah rumah yang kecil dan buruk?" Bli Gede menyoal dengan penuh retorik.

upacara sembahyang sewaktu matahari terbit di Pantai Sanur


...bersambung

4 comments:

ak_0143 said...

wah.. ko buat aku nak merasa g ke bali la plak... cam best je scuba diving ngn 'terbang2' tu! hehe

Jie said...

Kuden...

bestnya...nengok gambo & baca caption pun dapat kakjie rasa "kebestsannya".

Lepas exams mmg best pergi bercuti...

Pato & Pearl said...

Memang best itik itik ni membaca coretan sementara di Bali. Teringat pulak experience kat sana.....

Cerita lagi lah..

P+P

Kurt Kuden said...

ak_0143, hehe.. harus pergi! bessssttt wehhh

kak kujie, betul.. mungkin sbb exam ari tu extremely heavy, so cuti kat bali tu rase mcm seriously stress free.. enjoy tahap maksima!

mr pato n mrs pearl, betol kate puan pearl, bali best.. saye sblm pergi study blog puan pearl dulu tau tak.. hehe thxx tau.. saya mcm bminat je nk try seawalking tu, tp bajet tak cukup hehe.. takpe next time mesti try hehe