29 January 2008

Kau Yang Sempurna

Karim bersandar di kerusi nombor 23.

Masih awal, Karim berbisik sendirian melihat jam di tangannya baru pukul 8.15 malam. 15 minit lebih awal daripada jam perjalanan yang tercetak pada tiket bas Shah Alam - Kuala Terengganu. Satu persatu penumpang mula naik memenuhi kerusi di dalam bas itu. Masih tinggal 7 kerusi yang masih kosong, 4 di hadapannya, 3 di sebelahnya. Dan 7 orang penumpang terakhir itu berarak naik dan tiba-tiba menarik perhatiannya. 7 orang itu terlihat seperti manusia biasa, kecuali mereka tak mampu berbicara. 7 orang bisu yang terdiri daripada 3 perempuan dan 2 lelaki. Dan, salah seorang daripada perempuan bisu itu kerusinya nombor 24, betul-betul sebelah Karim. Perlahan-lahan Karim mendengus malah jelas terlihat sangat tidak selesa. Bibirnya panjang ketat memuncung ke depan. Karim mencapai telefon genggam di poket kanan seluar, lalu satu mesej buat temannya yang masih di kolej dihantar,

'Tension! Aku duduk sebelah orang bisu!'.

Saat perempuan itu merapatkan punggung di kerusi sebelahnya, Karim serta-merta berpaling ke arah tingkap dan berusaha untuk tidur, walhal sepicin pun dia tak ingin tidur. Kelopak matanya terpejam rapat, sambil hatinya tak berhenti-henti berisik tentang nasibnya duduk di sebelah orang bisu. Karim kaku ke arah jendela bas sehingga akhirnya dia benar-benar terlena ditelan malam.

Tiba-tiba, Karim tersentak. Tak sedar sejak bila dan sudah berapa lama dia terlelap. Karim pasti, perkara yang mengejutkannya daripada tidur ialah lampu dalam bas yang tiba-tiba hidup; menandakan bas sedang berhenti. Lewat jendela di pekat malam itu, Karim melihat deretan kedai-kedai makan.

Owh.. Baru Temerloh.. Karim berbisik berat saat rasa ingin tidur yang masih memuncak.

Karim toleh ke arah kerusi sebelahnya, kosong.

Pasti si bisu itu turun cari makan.. Karim berbisik lagi di hati. Karim meraba telefon genggamnya di poket kiri seluar, tapi tak ada, kemudian dirabanya di sebelah kanan. Juga tak ada. Karim tak lagi ingin tidur. Kini rasa mengantuk sudah jauh menguap jauh daripada Karim, melainkan sesungguhnya Karim sedang panik. Telefon Karim hilang! Karim bangun, diperiksa bawah kerusinya. Juga di celah antara dua kerusi 23 dan 24, masih tak kunjung temu. Karim bingung memikirkan di manakah ia. Jauh di sudut hatinya, tidak dapat tidak, Karim pasti telefonnya telah dicuri orang. Karim tersandar di kerusi. Dia sendiri tak tahu apa yang bermain di fikirannya. Karim jadi benar-benar bingung seperti orang kalah judi.

Perempuan bisu dan 6 teman-teman bisunya itu tiba-tiba muncul dari arah depan bas, sambil di tangan kanan memegang botol minuman. Mereka rancak berbicara dalam bahasa isyarat dan semakin ligat tangan mereka bergerak, semakin itulah hati Karim benar-benar benci dengan mereka. Perempuan itu duduk sambil tersenyum ke arah Karim. Namun, tak diendahnya. Karim ingin sekali bertanya pada perempuan itu tentang telefonnya pada gadis itu, tapi tak tahu bagaimana. Lantas, dicapai pen dan kertas dari dalam begnya.

Di atas kertas, Karim tulis,

"Handphone saya hilang, tolong misscall nombornya ...."

Perempuan itu terdiam. Lantas tersenyum, lalu angguk.

Trooottt trooootttt...

Trooottt troooottt...

Karim terasa ada sesuatu yang bergetar di tempat duduknya. Ada sesuatu yang sedang berkelip-kelip dari celah kerusi itu. Ternyata, sebuah telefon miliknya. Terselit di tempat yang pernah dibeleknya tadi. Karim menarik nafas dalam-dalam penuh lega. Karim pandang ke wajah perempuan itu. Perempuan itu bermata sendu tapi terpalit titik indah. Perempuan itu cuma mampu tersenyum melihat Karim. Lalu Karim memandang ke sekelilingnya, teman-teman perempuan itu juga sedang tersenyum dan senyuman itu terus mengembang indah. Suasana malam itu baginya seakan membeku. Bibir terkunci rapat. Hatinya bergetar melihat wajah-wajah itu. Walau tanpa sebarang bicara terluah di bibir, Karim merasakan betapa mereka semua tersenyum lega. Karim yakin sekali. Lalu dicapai kertas di tangan perempuan itu dan menulis,

"Terima kasih..".

Karim tak harapkan lebih daripada mereka. Mereka masih tetap tersenyum dan mengangguk kepala dua kali. Karim bersandar di kerusi. Matanya kosong terlempar jauh ke langit hitam pekat. Hatinya yang tadi kejam menuduh betapa kehadiran kumpulan bisu itu tak lain cuma akan membuat dirinya tak selesa, kini terpantul ke wajahnya. Hatinya mula melebur cair dengan penuh sesal. Tuhan telah melihatkan kebenaran buat dirinya bahawa membenci insan istimewa seperti mereka bukanlah perkara yang benar. Malah, Tuhan itu Maha Adil. Setiap yang tercipta itu bukan untuk sia-sia, terukir jauh di sudut hatinya. Lidah mereka mungkin bisu, tapi kemanusiaan mereka malah lebih sempurna daripada yang cukup sifatnya. Hati mereka luar biasa lebih tulus daripada manusia biasa. Telefonnya tiba-tiba bergetar, satu mesej diterima daripada nombor yang menelefonnya tadi, Karim tersenyum sendirian tatkala membaca,

"Sama-sama..."

photocredit::© seedmagazine

2 comments:

Jie said...

sama-sama encik kuden...

nk hntr sms tp hp cap ayam kakjie tak kredit

Kurt Kuden said...

haha! kak kujie tak tgk hp saye lagi..
bukan stakat cap ayam, dah mmg cap cicak monyet sgala mcam dahh