03 January 2008

Teman Lama

"Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian.."

Kali ini, Ayob berdiri. Kelihatan, dia lebih bersemangat daripada perenggan sebelumnya.

Kawan ketat menahan senyum.

"Sesungguhnya, seseorang yang sedikit rasa khauf-nya, akan terdorong menuju kealpaan dan keberanian untuk berbuat dosa. Sebaliknya terlalu berlebihan dalam khauf akan menyebabkan putus-asa dan harapan". Tangan Ayob meliang-liuk ke udara.

Kawan mengangguk-angguk sahaja.

Tiba-tiba Ayob diam. Kedua bola matanya tepat ke arah mata kawan. Mulutnya rapat tertutup. Urat-urat di wajahnya tegang sekali. Ayob masih diam.

"TIDAKKAH HADIRIN DAN HADIRAT SEKALIAN TAHU AKAN HAL ITU??"

'ITU' Ayob tajam dan nipis sekali. Terdengar nyaring malah seluruh ayatnya itu kuat sekali. Kuat sampaikan Poyok yang khusyuk belajar di kelas sebelah terangkat-angkat leher menoleh ke arah kami. Kawan tak tahan lagi berpura-pura untuk tidak senyum. Dan akhirnya kawan mengalah untuk ketawa. Ayob tercengang dan melihat ke arah kawan. Ceramahnya malam itu tak disambung. Melihatkan kawan tertunduk-tunduk ketawa di kerusi kayu itu, Ayob tersenyum dan lama-lama dia ketawa.

Kami sama-sama ketawa seperti pecah isi perut. Kawan tak ketawa kerana isi yang diceramahkan, tapi ketawa kawan kerana Ayob bersungguh-sungguh sekali malam itu berceramah tentang Khauf. Khauf bukan isu main-main. Malah, khauf adalah satu cabang ilmu yang mendekatkan diri pada Pencipta. Ilmu yang menyucikan jiwa. Dan lebih tepat, ceramah Khauf malam itu kerana Khauf adalah salah satu sub-topik kecil dalam bab utama yang mungkin keluar dalam ujian Pendidikan Quran dan Sunnah pagi esok. Kami tepu menghafal setiap baris dan lajur nota tentang khauf, maka kami putuskan untuk menjadikan proses belajar kami lebih menarik, kami simulasi seperti proses ceramah-ceramah dan forum-forum agama. Teks ceramah bukan direka sendiri, tetapi dibaca bulat-bulat oleh kami daripada buku teks dan ditambah sedikit bergantung kreativiti individu untuk menjadikan ceramah itu realistik, bertenaga dan yang penting, lucu. Malangnya, penceramahnya satu dan penontonnya satu. Maka Ayob lah bertindak selaku penceramah malam itu dan kawan suka-rela menjadi penonton setia. Tempat ceramah kami tak perlu jauh-jauh, cukup atas dua kerusi di koridor hadapan bilik ekonomi rumah tangga.

Bila penat ketawa, ceramah di sambung lagi. Sehingga jam prep selesai. Biasanya, penceramahnya cuma Ayob, kerana kawan memang tak berbakat berdiri dan berpidato. Pernah sekali kawan di kerusi penceramah, dan jangankan Ayob sebagai penonton sahaja yang kelihatan bosan, malah kawan sendiri menguap hampir sepuluh kali untuk habiskan satu tajuk itu. Itu kelebihan Ayob yang tak ada pada kebanyakan orang. Dia mampu bersahaja dan bersahaja Ayob cukup menghiburkan. Ayob sering menggunakan contoh-contoh yang dekat setiap kali ber-'ceramah', malah contoh itu terdengar sangat lucu tetapi benar. Itulah Ayob, makhluk yang super-creative, merangkap antara teman dekat kawan di KOSPINT. Kreativiti Ayob berpusat pada otak kanannya walaupun pada saat itu kami semua di aliran sains. Otaknya mencair dan menghasilkan pelbagai karya yang pernah buat kawan terpukau. Dia pernah menulis sajak yang berjudul Iboq dan bagi kawan, Iboq adalah sebuah nukilan yang mendahului usia kami waktu itu, namun sayang tak semua mengerti. Tetapi, Ayob tak pernah penat menulis.

Kalau duduk mendengar Ayob bercerita, kawan jadi leka dengan cerita-cerita lucunya itu. Cerita-cerita yang menggembirakan hati kawan. Sampai hari ini, kawan benar-benar rindu mendengar cerita-cerita itu. Cerita-cerita gembira dan wajahnya yang tersenyum itu sebenarnya menutup satu sisi yang tak semua orang mungkin faham tentang Ayob. Malah kawan sendiri terkapai-kapai ke sana. Kawan tahu, namun kawan tak pernah bicarakan ini di hadapannya, Ayob ada sesuatu untuk dibuktikan di sana. Tetapi sama seperti nasib Iboq, tak ada yang mengerti. Ayob terperangkap dengan cita-cita dan perasaanya sendiri. Kawan sendiri susah untuk bercerita tentang hal ini. Tetapi, kawan tahu di sana, Ayob tak terlalu bahagia walau dia pernah membahagiakan kawan dengan cerita-ceritanya. Semakin kuat Ayob cuba sembunyikan kisah benarnya, semakin itulah kawan dapat melihat dirinya. Dia cekal dengan wawasannya. Semangatnya tak pernah terpadamkan oleh apa pun. Dia berpasak dengan prinsipnya dan tiada siapa pun yang boleh menghasutnya. Dia punya cita-cita sendiri, dan paling berani, dia tak benarkan siapa pun mengaturnya. Hukum Tuhan menyatakan manusia itu berbeza-beza, begitulah juga Ayob. Di sana, Ayob punya kemahuannya sendiri dan darjah perbezaannya terlalu besar berbanding kemahuan teman-teman yang lain. Malah, hukum Tuhan turut menyatakan, manusia tak akan pernah memahami manusia yang lain sebagaimana Tuhan memahami mereka. Dan begitulah Ayob di sana. Tak semua mengerti. Mungkin 5 tahun, bukan masa yang belum cukup panjang untuk memperkenal Ayob pada semua. Lebih sedih, kawan sendiri seolah-olah melihat Ayob dari dimensi yang berbeza. Melihat dirinya tetapi tak pernah mampu menyentuh.
Sudah hampir 6 tahun kawan tak bertemu Ayob, namun tak bererti kami tak berhubung. Teknologi mungkin mendekatkan kami tetapi kami tak puas. Kami ingin bertemu. Kami ingin sekali bersua muka, berjabat tangan dan saling memeluk bahu. Teman dekat teman seperjuangan. Kawan ingin duduk bercerita kisah-kisah lama. Kisah bantal Riduan Lebai, kisah di marah Ustaz Man, kisah kejutan lektrik di perpustakaan dan tak terhitung kisah yang kita miliki. Bukankah, itu semua kisah-kisah yang indah? Semoga 2008 ini Tuhan mengizinkan kawan bertemu dengannya. Rindu kawan pada cerita-ceritanya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Maafkan kawan kerana ini mungkin tulisan yang tak semua mengerti tentang teman lama kawan, Ayob, teman selama-lamanya.

3 comments:

arsaili said...

salam tahun baru semoga beroleh kerahmatanNya

Kurt Kuden said...

salam taun baru arsaili.. ameeenn hehe

Anonymous said...

hye diin...sian mu..lme dh ye xjmpe ayob..aku pon trigt k ayob gok klu trigt jke mu..aku xpnh tnye ayob ke ngn mu sblm ni??? ayob pas spm g mne eh?g mne lok pastu?bkn ke mu cte ye msk uniten?kos nde?