17 March 2008

Bioskop Hokkuden::Kuntilanak 3


Judul::Kuntilanak 3
Genre::Hantu, seram
Pengarah::Rizal Mantovani
Pelakon::Julie Estelle, Imelda Therine, Reza Pahlevi

Kawan agak keliru dengan filem hantu/seram, pertama tujuan utama menonton filem-filem seperti ini ialah untuk menikmati suasana takut dan menyeramkan hingga berdiri bulu roma. Maka, bila terlalu berharap akan elemen-elemen ini muncul, kadangkala sesebuah filem itu akan diabaikan secara jalan ceritanya. Tak banyak filem seram yang mampu berdiri dengan dua kaki yang sama panjang; jalan cerita dan elemen seram.

Kuntilanak 3 mungkin sebuah filem Indonesia yang kawan rasa mungkin memiliki kisah tersembunyi yang menarik, tetapi persembahannya yang agak mengelirukan kawan lantaran ingin memastikan cerita hantu itu benar-benar berhantu. Namun, kelebihan filem hantu Indonesia ini (mungkin kelebihan filem hantu Asia lain) ialah persekitarannya yang dekat dan kisah kuntilanak yang bukan sangat asing bagi kawan, sedikit sebanyak memicu rasa takut.

Ada sebuah babak yang bagi kawan harus dipuji, iaitu saat hantu melewati Darwin (Mandala Abadi Shoji) lalu dia jadi gatal seluruh badan dan gatal yang melampau itu memaksa Darwin untuk menggaru badannya dengan parang sehingga mati. Menakutkan yang berbau sadis. Kelemahan yang mungkin jelas selain jalan cerita yang agak kelabu, ialah kesan khas yang agak kurang nyata. Mungkin kawan bangga kalau dikatakan, Pontianak Harum Sundal Malam ialah pemenang dari segi ini.

Mungkin lokasi di hutan buat kawan rasa sedikit tertekan, kerana Kuntilanak 3 telah berubah menjadi filem fantasi seperti Pan's Labyrinth di mana, watak-watak utama itu akan berhadapan makhluk-makhluk aneh yang tersebar di merata-rata walaupun ada sesetengahnya terlihat menyeramkan. Sungguhpun berjaya buat bahu kawan sedikit berganjak ke depan setiap kali muncul babak-babak seram, malangnya, kawan masih tak capai kepuasan menonton mungkin kerana kurang faham dengan misi si pemanggil Kuntilanak itu, Samantha (Julia Estelle) yang mungkin juga disebabkan kawan yang tak pernah menonton Kuntilanak 1 dan 2.

Rating::1.9/5 bintang

No comments: