22 October 2008

Dian


Kulit depan dan belakang Dian. Kawan pun keliru yang mana satu depan yang mana satu belakang.

Kawan selongkar laci almari yang isinya cuma barang-barang lama milik Ma, Baba dan Kak Ti. Ada dokumen-dokumen lama, foto-foto lama, kitab-kitab lama dan macam-macam lagi. Ada satu yang menarik minat kawan, iaitu sebuah majalah berbahasa Malaysia bertulisan jawi, Majalah Dian (bilangan 66 keluaran tahun tahun 1973).

Kawan belek-belek majalah bersaiz poket yang sudah kekuningan halaman-halamannya. Menarik juga topik-topik yang dibincangkan walaupun penerbitannya 12 tahun sebelum kawan kenal dunia. Mereka berbincang tentang 'Pengaruh Bulan Pada Tingkah Laku Manusia' dan juga 'Benarkah Israel Memiliki Bom Atom?'. Oh ya, sebelum Datuk Yusof Haslam kaya-raya dengan filem Sembilunya, Dian telah menerbitkan cerpen berjudul sama, tetapi ceritanya tak samalah. Dan, banyak juga kisah-kisah sejarah yang dikupas oleh Dian seperti, 'Revolusi Komunisme Berjalan Terus' dan 'Darurat 1948 di Tanah Melayu'.

Tak tebal Dian ini, dan bahagian yang berwarna cuma pada kulitnya sahaja. Dalamnya sarat dengan tulisan jawi. Kawan boleh baca walaupun tulisan jawinya tak berapa nak sama dengan apa yang kita belajar di sekolah. Tetapi tidaklah selancar baca rumi, sebab bila baca jawi kawan sedar yang kawan tak baca dalam hati sebab mulut pun bergerak sama. Rupa-rupanya, kawan memang semakin asing dengan tulisan jawi. :(

Ada satu kolum dalam Dian, iaitu 'Kuasai Bahasa Ibunda'. Daripada 10 kosakata yang diberi, tak ada satu pun yang kawan pernah dengar. 'Jenjam'? 'Mengauk'? 'Damprat'? Apa semua itu?

Artikel berjudul, 'Nasib Tulisan Jawi Zaman Ini Dan Akan Datang'.

2 comments:

AK said...

ade ek majalah gini lagi???
huhu
mesti aku kelam kabut mau membacanya!!!

Kurt Kuden said...

haha da takde kot.. tu taun 70an punye.. tatau la kalau versi sekarang dah rumi belaka hehe