01 October 2007

Cebisan Kertas Yang Mulia

"Mak, Karim nak pinjam sejadah, petang esok ustazah nak ajar solat, jadi semua orang kena bawak sejadah sendiri"

"Cuba ko tengok dekat kain-kain pelekat ayah tu.." Suara mak menerobos masuk lewat jendela rumahnya. Mak masih di bawah menyidai baju-baju.

"Ko ambik sejadah yang mak dah basuh!" sambung teriakan mak.

Karim membelek lipatan kain pelekat usang yang terlipat rapi dan berbau harum. Usia kain-kain pelekat itu pasti hampir sama dengan usianya. Karim terus membelek sehingga ke lipatan yang ke lima setelah empat helai kain pelekat buruk tapi bersih nan wangi.

"Mak!!"

"Yer.."

"Karim dah jumpa!!"

Hari ini Karim pulang lebih lambat dari hari kebiasaanya. Karim berjalan sambil kepalanya sedikit tunduk. Langkahnya cepat seperti hari-hari sebelumnya. Terik matahari siang ini berjaya memercik peluh-peluh di tubuh Karim sehingga basah di belakangnya. Karim melewati jalan kebiasaannya dengan cepat. Di celah-celah pokok manggis yang merimbun di hadapannya, Karim dapat melihat atap zink yang sudah agak teruk berkarat. Tentu rumah itu sudah tua untuk menampung atap-atap yang jelas usang.

Karim cepat-cepat ke dalam rumah. Dan cepat-cepat Karim bertukar baju dan turun ke meja kecil di halaman rumahnya. Karim bercangkung. Tekun sekali Karim menggunting kertas majalah warna-warni itu menjadi cebisan-cebisan kecil. Sekali angin petang bertiup, sekali itulah cebisan-cebisan kertas tadi berterbangan ke merata-rata. Karim tak malas. Dia kutip semuanya lalu disimpan ke dalam tin kosong.

"Ko tak belajar ke Karim?"

Karim tersentak. Suara tegas ayah mengejutkan Karim.

"Karim nak siapkan ni dulu, nanti Karim belajar"

Ayah berlalu meninggalkan Karim. Tuala putih di bahunya kelihatan basah sekali. Ayah duduk di anak tangga paling bawah sambil dua biji matanya tepat ke arah Karim.

"Mak, Karim nak duit beli gam boleh tak?"

Mak seluk ke dalam dompet kecilnya. Ada satu keping not RM10.

"Mak beli lauk dulu untuk masak malam ni, kalau ada lebih nanti mak kasi Karim"

Karim mengangguk dan berharap.

Karim menyambung menggunting majalah-majalah terpakai yang dikutipnya itu. Tak diendah bunyi-bunyi kicau burung petang itu, tak di layan ajakan teman-temannya untuk bermain bola.

"Hari ini aku tak main la.. Sibuk sikit. Lusa aku ikut"

Karim melihat susuk ibunya berjalan ke arahnya sambil tersenyum.

"Karim, tadi duit RM10 itu cukup-cukup untuk mak beli ikan dan sayur ni"

Karim angguk diam.

"Takpe, karang ayah ko balik, nanti mak suruh dia belikan"

Karim angguk dan tersenyum lagi.

Hari ini sudah 3 hari Karim bersama cebisan-cebisan kertas itu. Tak terkira. Pelbagai saiz dan warna. Karim khusyuk bersama kertas-kertas itu. Sekali-sekala Karim menyusun kertas itu di atas kertas putih. Kemudian di kutip lagi, kemudian di susun lagi. Sampai lah ke petang dan ayah pulang dari pasar.

"Ayah beli gam Karim tak?"

"Ayah lupa.."

Karim diam sahaja. Tak mengangguk tak menggeleng.

"Penat, mana nak ingat semua itu.."

Karim diam lagi.

"Dah-dah.. Ko jangan main benda tu lagi. Ayah tak nak tengok ko pegang benda tu lagi. Kalau tak, ayah bakar"

Karim diam dan mengutip semua cebisan-cebisan kertas itu ke dalam tin kosong.

Malam itu Karim duduk bersama buku di ribanya. Karim kelihatan membaca, tapi sekali-sekala matanya mencuri pandang ke arah tin berisi cebisan-cebisan kertas itu.

"Nah, pakai ni..."

Mak menghulurkan mangkuk berisi cecair putih likat dan masih berwap panas.

"Apa ni mak?"

"Ko nak gam kan, ni mak pakai kanji yang dekat dapur. Mak masak. Dan sekarang ko boleh pakai buat gam"

Karim tersenyum.

"Mak"

"Yer.."

"Terima kasih.."

Dan dia terus mencapai tin dan cebisan-cebisan kertas warna-warni itu.

Seminggu telah berlalu. Karim tak pernah lagi bersama cebisan-cebisan kertas dan meminta untuk dibelikan gam. Namun, petang itu Karim masih tak mahu ikut temannya main bola. Karim duduk di atas anak tangga paling bawah. Tangan kanannya erat memegang bungkusan plastik. Dan tangan kirinya memeluk gulungan kertas. Karim gelisah menunggu.

Sayup-sayup terdengar bunyi enjin motosikal ayah. Bising sekali. Karim tersenyum dan wajahnya bersemangat. Saat ayah menongkatkan motosikal, Karim bangun dan berjalan ke arah ayah.

"Ayah..."

Karim menghulurkan bungkusan itu kepada ayah. Ayah menerima dengan rasa hairan. Ayahnya membuka bungkusan plastik itu, dan dalamnya terkandung sepasang kain pelekat baru warna biru tua. Cantik sekali.

"Mana ko dapat ni?"

"Ini untuk ayah. Sekolah Karim ada buat pertandingan kolaj sempena bulan puasa. Hadiah nombor satu dia kain pelekat. Karim menang. Jadi, ayah boleh lah pakai kain pelekat baru untuk sembahyang terawih tahun ni"

10 comments:

alisyaasofia said...

terharunya.. ade kesinambungan x cite ni kuden? ^_^

mad redo1 said...

citer besh... kalu buat animasi ni chantekk...

Jie said...

melting my heart..sob...sob...sobb..

Kurt Kuden said...

wani, kesinambungan? sambungan ke? takde la.. sampai situ je.. hehe

abg mad, thxx.. animasi upin dan ipin ke bang?

kak kujie.. thxx.. lame plan nk wat cite pasal nk ramadhan.. dkt2 akhir puasa baru bjaye

Vernon Kedit-Jolly said...

Kuden.

Kurt Kuden said...

vern.. hehe

mad redo1 said...

mmmmmm?

Kurt Kuden said...

bakpe pulok abg mad? haha

Precious said...

kuden, hantar lah ke Utusan. Sape tau boleh menang hujung tahun ni, cerpen terbaik. dont waste it bro, such a nice writings.

ak_0143 said...

aku rasa penah baca mende ni dulu...
tapi aku tak komen ye?

maybe masa tuh aku tak aktif lagi di sini kowt
or maybe masa tuh aku tak kenal ini blogger lagi!
sekarang sudah kenal - ini blogger harus dibom kerana entri2 makanannya!!!

=p