17 September 2007

Satu Petang Ramadhan Yang Lalu

Petang itu, suasana sungguh aman. Cuaca yang sangat disenangi. Riuh-rendah petang itu sama sahaja dengan riuh-rendah petang-petang sebelumnya. Tak jauh dari pinggir bangku batu itu, ada beberapa antara kami ketawa di dalam bulatan sambil menyepak bola. Ketawa mereka petang itu sungguh lantang. Dan tak sedikit juga, ada yang duduk di bangku-bangku sambil bercerita hal-hal yang lucu. Dan, mereka juga jadi ketawa.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Gelombang-gelombang ketawa itu menerobos masuk ke bilik belajar aras 1, dan terdengar jelas oleh mereka di dalam. Tak ramai. Mungkin seorangnya sibuk menyusun fail-fail dan buku-buku yang berselerak di atas meja, seorang lagi mungkin mempersiap nota untuk dibaca malam ini, atau yang seorang lagi mungkin tak buat apa-apa, melainkan bicara kosong dengan mereka yang lain. Namun, suara-suara gembira yang masuk ke bilik belajar itu tak hanya dari bangku batu, tapi juga dari beberapa meter dari arah hadapannya. Beberapa antara kami sedang gembira menonton drama bersiri, Maya Mira di TV3 di dewan makan. Pasti babak itu sungguh lucu, sehinggakan ketawa mereka kuat sekali.

Tepat melalui jendela bilik belajar yang tak semua nakulnya ada, terlihat 2 susuk yang berjalan daripada Surau Umar Abdul Aziz ke arah Kediaman Putera sambil salah seorangnya bersemangat untuk bercerita pada temannya sehingga kedua belah tangannya turut bergerak mengikut jalan cerita. Tiba-tiba lengannya itu terangkat lurus 110 darjah dan tangannya melambai ke arah tangki air. Dengan jarak beberapa meter tinggi dari paras laut, 4 orang dengan purata ketinggian mereka sekitar 170cm, kelihatan sangat kecil tapi jelas terlihat siapa mereka.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Dari atas tangki air itu, mereka dapat melihat 2 buah motosikal bergerak dari pintu masuk utama, melewati Kediaman Puteri dan akhirnya tak kelihatan akibat terlindung oleh bangunan Kediaman Putera 4 tingkat itu. Di dalam bakul setiap motosikal itu terisi penuh dengan plastik-plastik berisi makanan dari Bazaar Ramadhan. Dan, semuanya dipesan oleh mereka yang sedang asyik ketawa tadi.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

30 minit lagi azan pasti berkumandang.

Kakak-kakak dewan makan mula menyusun periuk terisi lauk-pauk berbuka petang itu. Kepul-kepul asap yang keluar dari periuk menandakan lauk masih panas. Aromanya yang terbau sungguh enak sikit-sikit mula menggertak iman berpuasa hari itu. Barisan mula terbentuk. Dari 5 orang menjadi 10, dari 10 menjadi 20, dan barisan petang itu makin memanjang. Barisan itu sifatnya bising, tetapi setiap satu antara mereka begitu sabar menunggu giliran masing-masing.

Ada banyak meja-meja yang disusun memanjang, namun dengan jumlah 65 orang sahaja, mungkin tak sampai 50 peratus ruang dewan makan itu terisi orang. Kami duduk bertentangan dan memenuhkan meja-meja terdekat. Tiba-tiba beberapa antara kami mula bangkit keluar daripada perut dewan makan dan menuju ke arah belakang bangunan asrama. Mereka berkerumun di pohon-pohon renek ulam raja. Dan memetik setiap pucuknya untuk dijadikan penambah selera berbuka puasa petang itu.

Suasana dewan makan mula terdengar riuh dengan gelak ketawa dan bunyi-bunyi kaki kerusi plastik yang diheret pada lantai bermozek. Ada juga yang tak sia-siakan peluang rahmat Ramadhan untuk menanti saat berbuka puasa dengan alunan Kalamullah dan ayat-ayat memuji kepada Yang Maha Esa. 3 minit sebelum berbuka, suasana jadi lebih tenang. Suara-suara gelak ketawa sudah berkurang. Bunyi-bunyi kaki kerusi sudah tak terdengar lagi. Selain tenang, yang terdengar adalah bunyi suara penyampai radio Radio Malaysia Terengganu dan disambut petikan gambus yang sungguh elok. Bunyi gambus itu berhenti dan disahut oleh penyampai radio lelaki itu untuk berkata, "Sekarang telah masuk waktu berbuka puasa...". Azan Maghrib pun berkumandang. Doa berbuka di baca, dan tanpa rasa kasihan kami menikmati juadah petang itu. Ada yang memulakan dengan kurma, ada yang dengan air sirap dan ada juga dengan kuih-muih nan manis. Namun penghujungnya semua sama, kenyang yang tak terhingga dan rasa syukur untuk nikmat berbuka petang itu.

Kawan tersenyum sendiri teringat kisah-kisah persahabatan lama di zaman sekolah. Semuanya begitu indah sehinggakan sampai saat sekarang kawan mula rindu saat tiba bulan Ramadhan dan terbayang betapa akrabnya kami. Setiap helai ketawa yang tercetus begitu kuat untuk mampu mebuatkan kawan ingin pulang ke kisah klasik itu. Buat semua teman sekolah lama kawan, Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (KOSPINT) batch 1998-2002, kawan mengucapkan selamat menikmati nikmat dan rahmat Ramadhan kali ini.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

notakaki::Demi menjawab tag Chii dan Joey, kawan sediakan link ini, ini, ini dan ini sebab kawan pernah jawab tag untuk 6 Things You Don't Know About Me, dan insya-allah, kawan sambung baki dua lagi. Kawan tau links tu macam tak menjawab soalan tag. Hehe..

notakaki2::Thxx sebab betulkan..

Apa-apa pun,

Selamat Berbuka Puasa!!

7 comments:

Red Mummy said...

panjangnyaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa

Vernon Kedit said...

Kuden.

Kurt Kuden said...

mak merah, hahaha. saya belajar tulis pjg2 ni dari mak merah a nih haha

mr manager, ye saye haha

Orked said...

kuden..kak red tu mesti baca lompat kijang..lompat galah bagai tu...:p

kenangan kan....mesti best!

Kurt Kuden said...

kak kujie.. betul.. rindu gile kat kawan2 skolah lame.. hmmmm.. hehe

azrid said...

buke posa kat situ..
dok dengo bedil ke?

Kurt Kuden said...

haha dok dengo aa kak..
iskk lening ade agi ke bedill kak?..
dulu rs ms budok2 ade lagi bedil kalu ikut mok buke bandor..
waaa.. sejaroh tuu